BAB 1

 

QA’SIM membuat kerja dengan teliti. Air keringat di wajahnya sesekali akan dilap dengan tuala kecil. Jauh di sudut hati, nama-nama Allah sudah diulang sebut tak berhenti. Setelah itu, dua beg plastik hitam mula dibuang ke dalam tong sampah.

 

Hari ini, dia dapat pulang awal dari waktu kebiasaan. Oleh sebab barang basah sudah habis terjual. Ayam, ikan… semuanya sudah tiada bekalan dalam gerai ini. Laku keras. Barangkali hari cuti sekolah bakal membuka tirai tidak lama nanti.

 

Tap! Penutup tong sampah ditutup dengan rapat. Dua tangan menepuk antara satu sama lain. Sempat Qa’sim panguk kepala dan melihat dada langit di atas. Cerah! Tidak ada tanda-tanda mahu hujan hari ini.

 

“Dah siap. Bolehlah aku balik.” Gerutu Qa’sim. Derap kaki dibawa ke pintu belakang untuk masuk ke dalam gerai semula. Dapatlah dia jumpa gurunya di masjid sebentar lagi.

 

“Qas!” Satu suara berteriak memanggil namanya. Langsung Qa’sim panggung kepala. Tidak lama itu, wajah Fadhlan bertamu di matanya.

 

Qa’sim tersenyum. “Lan. Assalammualaikum. Kenapa ke mari?”

 

Fadhlan tersengih-sengih. Langsung dia menerpa masuk ke dalam gerai itu. Sempat matanya curi-curi lihat pada tempat jualan. Kosong.

 

“Haih… Aku nak ke gerai ayah sendiri pun takkan tak boleh kut?” Seloroh Fadhlan bersama tawa halus. Dia dan Qa’sim sudah berkawan sedari usia remaja. Walau kehidupan mereka tidak sama, itu tidak menghalang Fadhlan untuk mengenali Qa’sim lebih dekat.

 

Qa’sim seorang anak yatim piatu. Kerana ihsan, Haji Muiz mengajak Qa’sim bekerja bersama-sama di gerai ini. Tamat sahaja pengajian, Qa’sim mula menunjukkan sikap serius untuk berniaga. Kesudahannya, Haji Muiz beri sahaja gerai ini kepada Qa’sim.

 

“Siapa kata tak boleh? Cuma itulah… aku nak tutup gerai dah. Barang basah dah habis. Lepas zuhur, fikir nak ke rumah ayah kau. Nak bincang hal bekalan.” Balas Qa’sim dengan tenang. Tuala kecil terus diletak atas bahu sendiri.

 

Serentak itu, Fadhlan terngadah. Apa?

 

“Serius ke kau ni, Qas? Aku baru nak tolong-tolong….” Mata Fadhlan berkelip tidak percaya. Dia fikir tempat jualan saja yang sudah habis. Ternyata telahan dia silap.

 

Qa’sim tersenyum. “Betullah. Tepi sikit. Aku nak angkat baldi ni.” Pinta Qa’sim sebelum menepuk pinggang Fadhlan perlahan.

 

Spontan, Fadhlan bergerak ke tepi. Mata lurus memandang ke arah si sahabat.

 

Tak betah duduk diam, Fadhlan bergerak ke tempat rak simpanan. Bekas demi bekas, Fadhlan tilik. Semuanya kosong! Fadhlan ternganga sendiri. Bekalan mereka benar-benar sudah habis. Langsung tiada seekor yang tinggal.

 

Dua tangan naik mencekak ke pinggang sendiri.

 

“Terbaik, Qas! Aku, speechless.”

 

Saat itu, Qa’sim tegakkan badan. “Alhamdulillah… rezeki kau sekeluarga. Aku cuma membantu sahaja.” Dua tangan terus dilap dengan kain.

 

“Surah At-Talaq, ayat 2-3. Sentiasa yakin, di mana rezeki itu jaminan daripada Allah. Rezeki itu milik Allah. Semakin hati ikhlas memberi kepada orang lain… Insya-Allah, Dia akan memudahkan lagi rezeki hamba-Nya. Ramai orang fikir, bila rezeki tidak cukup, perlu buat kerja lebih masa. Fikir bagaimana untuk meluaskan kewangan apa yang patut. Sedangkan, yang memberi rezeki itu, Allah. Cari Allah dahulu.

 

Kesilapan orang kita sekarang, habiskan masa dengan mencari dunia dan tidak mencari Allah terlebih dahulu. Rezeki Allah itu luas. Lepas kita meminta kepada Dia, teruskan usaha apa yang patut diusahakan. Percaya dan sabar. Allah ada.”

 

“Betul tapi kau memang tahu berniaga, Qas. Jangan rendah diri macam itu. Aku malu nanti.”

 

Fadhlan tergelak halus. Namun, hatinya tidak berdangkal. Sememangnya, Qa’sim tahu menahu hal-hal perniagaan.

 

Qa’sim sekadar menggumam. Kerja membersih dibuat dengan tekun. Terasa segan bila Fadhlan mahu memujinya. Walhal, dirinya ini biasa-biasa saja. “Terima kasih.”

 

“Sama-sama. Oh! Ya… kau nak tahu, Syura dah jadi janda.” Tiba-tiba Fadhlan buka cerita. Dua tangan naik menyilang ke dada.

 

Pantas Qa’sim menoleh. “Ya? Suaminya meninggal ke?” Sekadar mahu tahu. Inikah punca Puan Myra dan Puan Sally bergaduh di gerai sebelah beberapa hari lepas? Sehinggakan ada selipar termasuk dalam gerai sini.

 

Fadhlan menggeleng.

 

 “Tidaklah. Suaminya nak kahwin lagi. Itu yang berpisah. Perempuan mana suka dimadukan.” Lanjut Fadhlan lagi. Biasalah, bila orang kaya dah tak tahu nak menggunakan duit, tentu menikah lagi. Tambah cawangan dalam hidup sendiri.

Qa’sim terangguk-angguk. Dia bergerak ke singki untuk mencuci tangan.

 

“Kesian. Moga keluarga bilal baik-baik saja lepas ni.” Ungkap Qa’sim lembut. Usai itu, dia menanggalkan baju dari tubuh untuk menggantikan dengan pakaian yang baru. Pantas dia membelakangi Fadhlan. Segan!

 

Fadhlan langkau pandangan ke tempat lain. “Orang tu dah kahwin. Cerai pun sudah. Kau tu saja, Qas. Bila nak menikah? Aku ni ada dah anak-anak.” Bukan nak jadi penyibuk tapi usia Qa’sim sudah 38 tahun. Lama benar hidup membujang. Haih.

Qa’sim hanya tersenyum.

 

“Belum ada yang sampai.” Dia ketawa kecil. Ikut hati, memang dia mahu kahwin. Siapa saja tak mahu dirikan masjid? Namun, Qa’sim berjaga-jaga. Dia maklum tak semua orang sudi menerima dirinya seadanya.

 

Saat itu, Fadhlan mencemik. “Yalah tu! Itu cucu Nek Salwa berkenan sungguh dengan kau. Fikir aku tak tahu? Belum ada yang sampai sangat!” Balas Fadhlan geram.

 

Qa’sim tergelak. Pakaian kotor terus disimpan ke dalam beg kertas. Tahu! Tapi hatinya pula yang tak terasa apa-apa. Ada saja cucu orang tua itu menghantar surat. Belum sempat dia nak baca, kucing jiran sebelah dah rampas bawa lari. Macam mana?

 

“Orang kaya tu, Lan. Mana mahu dia nak hidup dengan aku yang biasa-biasa ni.” Ujar Qa’sim bersama gelengan.

 

Saat itu, Fadhlan mengerutkan dahinya. “Orang kaya ke?”

 

“Kayalah…. Dah pakai kereta besar.” Balas Qa’sim menyergap. Dia tersenyum lucu. Bukan dia tidak tahu abang-abang gadis itu bagaimana? Tak mahu dia panjangkan cerita. Haru.

 

Pantas Fadhlan menjuih bibir ke depan. “Alah! Tetap hidup dalam kampung kita. Kalau kaya, tiada makna abang-abangnya mahu duduk sama dengan Nek Salwa. Ke kau takut kena reject?” Manalah tahu, penangan Bilal Tahir menghantui Qa’sim dalam diam.

 

Serta-merta Qa’sim menggeleng. “Tidaklah, Lan. Kau jangan risau. Ada yang sampai, aku ajak kau hantar rombongan. Lagi pula… eh, kau datang seorang saja ke? Anak-anak mana?” Soal Qa’sim pelik. Dua keningnya sudah bercantum.

 

Kebiasaannya, kembar itu ada saja mengikut Fadhlan ke mana-mana tapi kali ini tak ada pula. Ada di rumah agaknya.

 

Serentak itu, Fadhlan terdiam. Dia memandang Qa’sim bersama tubuh yang mengeras. Alamak! Serentak itu, Fadhlan berlari keluar dari gerai. Laju.

 

“Ya Allah, anak aku! Aku terlupa! Aku pergi dulu. Jumpa dekat masjid nanti. Assalammualaikum!” Habislah! Ini kalau bini tahu yakin dirinya bakal kena smack down ala-ala Bruce Lee.

 

Qa’sim membatu di situ. Eh?

 

Title : Her Muhammad